welcome to my blog

Saturday, June 18, 2011

KEMUDHARATAN YANG TERHASIL DARIPADA RIBA


Setiap pengharaman sesuatu perkara oleh Allah s.w.t. pasti terselindung hikmah di sebaliknya. Begitu juga sebaliknya bagi sesuatu perkara yang dihalalkan dalam pensyariatan, pasti ada kebaikannya untuk hambaNya. Dalam konsep amalan riba, ianya banyak mencetuskan masalah dan penindasan kepada individu dan masyarakat. Lantaran itulah riba diharamkan dalam Islam.

  Kemudharatan Riba kepada Individu

Riba memudharatkan individu dapat dilihat pada aspek-aspek berikut:

1.      Mengajar sifat pengecut dan lari dari memikul tanggungjawab. Orang yang menyimpan harta di bank-bank ribawi dan mengambil faedah-faedah yang sudah dijamin kadarnya, sebenarnya telah lari dari tanggungjawab menanggung kerugian.Apabila seseorang mempunyai akhlak tidak suka memikul tanggungjawab, sebenarnya telah meletakkan kegagalan pada seluruh kehidupannya. Dia telah lari dari menanggung tanggungjawab terhadap rumah tangga, anak-anak, kerja, sahabat dan seluruh tindakannya. Lelaki yang begini sifatnya, adalah lelaki yang gagal di dalam setiap urusan kehidupannya.

2.      Melemahkan roh kesedaran, kerana individu yang menyerahkan pengurusan hartanya kepada bank, sebagai imbalan dari faedah yang sudah pun terjamin tanpa berkesempatan memberikan pandangan berkaitan dengan pelaburannya, sebenarnya telah ditimpa kelemahan dan kecacatan. Sekiranya dia melaburkan sendiri hartanya atau melalui prinsip Mudarabah, sudah tentu dia akan membuat berbagai-bagai penelitian terhadap bentuk-bentuk pelaburan hartanya itu. Sekiranya dia melihat ada satu program yang mendatangkan keuntungan yang lebih besar dari program yang sedang dilaburkannya, dia akan meninggalkan program tersebut dan mencaburi pula program yang lebih mendatangkan keuntungan itu. Kesedaran individu sebenarnya memperkembangkan ekonomi, meningkatkan kelayakan dan menambah pengalaman dan kemahiran kepada para pekerja.

3.      Ia akan menyebabkan peniaga-peniaga dan pengeluar muflis dan bangkrap. Kebanyakan peniaga yang diberikan kepercayaan oleh bank, muncul di pasaran yang lebih besar dari kemampuan mereka yang sebenar. Mereka melakukan muamalah dan membina program-program yang lebih besar dari kemampuan kewangan yang mereka ada. Pada saat kritikal, pihak bank manunjukkan akaun mereka dan menyita harta benda mereka.

4.      Menjauhkan diri daripada Allah. Apabila pihak bank menjamin pendapatan tetap kepada individu – sebagaimana keadaan yang berlaku pada faedah-faedah ribawi – hubungan dan harapannya kepada Allah s.w.t. dan permohonan taufik daripadaNya akan berkurangan. Pada dasarnya, sikap seumpama ini dianggap satu bencana. Sebaliknya apabila rezekinya dihubungkan dengan sesuatu yang masih belum pasti, sebagaimana yang berlaku kepada para peniaga, para pengilang dan juga petani, penggantungan mereka kepada Allah, akan bertambah mendalam. Mereka akan terus kekal bertawasul dan berdoa kepada Allah juga memohon rezeki daripadaNya.

Kemudharatan Riba kepada Masyarakat

Kemudharatan riba kepada masyarakat mencakupi kemudharatan kepada ekonomi. Ianya dapat disimpulkan kepada berikut:

1.      Menyebabkan pertambahan pengeluaran. Para pengeluar mengeluarkan harta mereka secara tidak terkawal, kerana bank menjamin perolehan harta untuk proses pengeluaran. Pengeluaran tambahan yang tidak menjamin pasarannya, adalah merupakan satu bencana ekonomi. Menyediakan pasaran yang menelan lebihan pengeluaran, bukanlah satu perkara yang mudah, kerana banyak negara berebut terhadapnya. Hasil dari perebutan dan persaingan ini, mencetuskan pertembungan di kalangan negara-negara tersebut. Pertembungan inilah yang banyak mencetuskan peperangan. Sebab-sebab yang mencetuskan perang dunia pertama dan kedua, adalah kerana ekonomi dan bukannya politik. Perang Teluk juga berpunca dari sumber yang sama, sebagaimana yang diamati oleh para pemerhati.

2.      Menyebabkan pengangguran, kerana orang-orang yang mempunyai harta meletakkan harta-harta mereka di bank-bank ribawi dengan mendapat faedah tertentu, sebenarnya menjamin untuk diri mereka rezeki yang tetap. Ini membuatkan mereka menganggur dan enggan bekerja. Pengangguran mendatangkan kemudharatan yang besar. Diantaranya membiasakan diri dengan sifat malas dan menghabiskan masa kosong dengan kerja-kerja yang bermanfaat. Waktu kosonglah banyak menjerumuskan seseorang kepada aktiviti yang mendatangkan kerosakan.

3.      Menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan kerana pengeluar akan meningkatkan harga barangan mengikut riba yang dibayarnya kepada bank. Dengan ini, harga barangan meningkat dan menimbulkan bebanan kepada pengguna.

4.      Menguatkan orang-orang kafir untuk menentang Islam kerana aliran harta mengalir dari bank-bank ribawi yang terdapat di negara-negara Islam ke bank-bank asing. Bank-bank asing ini akan menggunakan harta tersebut untuk menjaga kepentingan mereka. Antaranya pembangunan ekonomi. Bank-bank asing membekalkan dana kepada musuh-musuh Islam yang membolehkan mereka menggunakannya di dalam peperangan menentang orang-orang Islam.

5.      Menyebabkan terputusnya ihsan di kalangan orang ramai. Orang yang memakan riba, tidak sanggup menghulurkan apa-apa bantuan walau apa bentuk sekalipun keadaan darurah kecuali dengan pulangan kewangan tertentu.

Pengharaman riba termasuk ke dalam perkara-perkara yang diketahui secara pasti di dalam agama dan tidak ada ruang kepada seseorang menolaknya. Pengharamannya sabit dengan nas dan juga logikal.
Orang yang memakan riba samada bank atau penyimpan memperolehi keuntungan dan tidak menanggung kerugian. Perkara ini sebenarnya tidak menepati pemikiran yang sihat. Pemikiran yang sihat menjelaskan setiap orang yang memperolehi keuntungan, pasti menanggung kerugian.
Kemudharatan di atas, sudah cukup untuk menggambarkan riba adalah haram. Walaupun tidak didapati nas syarak yang mengharamkannya, berdasarkan kepada ini, haram menubuhkan bank ribawi, haram membeli saham-saham yang dikeluarkannya dan haram juga berurusan dengannya kecuali di dalam keadaan darurat.






No comments:

Post a Comment