welcome to my blog

Tuesday, April 26, 2011

Penghijrahan Nabi di Madinah al-Munawarah



Penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah bukan sahaja telah membawa Islam berhadapan dengan pihak Yahudi yang telah menetap di situ tetapi juga beberapa kabilah Arab yang tinggal di kawasan berhampiran. Setelah kedudukan madinah semakin mantap, baginda cuba meluaskan usaha-usaha dakwahnya dan ini secara tidak langsung telah membawa Islam berhadapan dengan pelbagai kabilah Arab di seluruh Semenanjung Arab termasuk kuasa-kuasa asing. Masing-masing mempunyai reaksi dan respon yang tersendiri terhadap Nabi Muhammad SAW dan Islam.
Bagi orang Yahudi sejak awal lagi perhubungan mereka dengan Nabi berjalan dalam keadaan yang sukar dan tegang. Beberapa konspirasi telah dibuat oleh mereka bagi menentang Nabi Muhammad SAW dan dakwah Islam, yang menyebabkan baginda terpaksa mengambil tindakan-tindakan yang tegas terhadap sebahagian besar daripada mereka. Bagi kabilah-kabilah Arab pula, perhubungan mereka dengan Nabi biasanya mengikut rentak perhubungan baginda dengan pihak Qurasyh.
Kemenangan Nabi ke atas orang Qurasyh menyebabkan baginda dihormati dan disegani oleh suku-suku tersebut. Begitu juga sebaliknya. Kebanyakan suku Arab yang tinggal berhampiran Madinah mengiktiraf kewujudan kuasa baru itu berbanding mereka yang tinggal berjauhan  dari kota tersebut. Perhubungan Nabi dengan kuasa-kuasa di luar kawasan pengaruh Makkah dan Madinah pula hanya bermula secara meluas setelah kedudukan Madinah begitu mantap dan menyaingi Makkah. Sebahagian daripada kuasa-kuasa luar tersebut memberikan respon yang positif terhadap Islam sementara sebahagian yang lain memberikan respon yang negatif.




No comments:

Post a Comment